Wednesday 16 June 2010

Martabatkan Bahasa Melayu Dahulu

Oleh ASLIZA MUSA

KUALA LUMPUR 15 Jun - Semua kaum di negara ini perlu memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di samping memperkasakan bahasa Inggeris sebelum mempelajari bahasa ibunda lain seperti Tamil dan Mandarin.

Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, sekiranya kerajaan mahu mewajibkan pengajaran bahasa-bahasa ibunda tersebut, ia perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula di sekolah rendah.

"Kita tidak boleh paksa murid-murid belajar bahasa-bahasa tersebut kerana ia agak menyukarkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan mewajibkan penyediaan guru-guru Bahasa Mandarin dan Tamil di semua sekolah kebangsaan supaya pengajaran dan pembelajaran kedua-dua bahasa itu dapat dilaksanakan sepenuhnya di negara ini.

Menurut Abdul Latiff, langkah kerajaan itu sebenarnya merupakan strategi untuk menarik kaum lain menghantar anak mereka bersekolah di sekolah kebangsaan.

Namun, jelasnya, untuk mewajibkan pengajaran kedua-dua bahasa tersebut kepada pelajar, ia sedikit menyukarkan kerana secara tidak langsung akan membebankan mereka apabila terpaksa belajar banyak bahasa dalam satu masa.

Katanya, cadangan itu akan lebih berkesan sekiranya kedua-dua bahasa tersebut diwajibkan kepada murid-murid India dan Cina di sekolah kebangsaan manakala pelajar Melayu diberi pilihan belajar Bahasa Arab.

Selain itu, katanya, sekiranya cadangan itu diteruskan, ia perlu melibatkan murid di sekolah rendah terlebih dahulu manakala pilihan pula diberi kepada pelajar sekolah menengah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan pula berpendapat, cadangan itu perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan menyediakan prasarana yang mencukupi terlebih dahulu.

Katanya, sekiranya cadangan itu mahu dilaksanakan dalam waktu terdekat, ia memerlukan satu tempoh percubaan untuk menilai kesan dan kelemahan pelaksanaannya.

"Cadangan ini tidak boleh dilakukan secara sambil lewa kerana ia melibatkan bahasa.

"Kementerian perlu berunding dengan pihak-pihak yang terlibat terlebih dahulu untuk mengenal pasti kekurangan dan kelemahannya," katanya.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz pula berkata, cadangan itu terlalu awal untuk dilaksanakan kerana penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar masih berada di peringkat tidak memuaskan.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan pula berpendapat, langkah itu tidak akan membelakangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Langkah ini membolehkan setiap kaum mempelajari bahasa ibunda masing-masing dan ia tidak akan mengganggu proses untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat," katanya.

Diambil dari: Utusan Malaysia Online 16 June 2010, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm


Pendapat aku: Ya.. aku amat bersetuju dengan pendapat bahawa kita perlu memertabatkan Bahasa Melayu dulu. Walaupun pembelajaran Bahasa Mandirin dan Tamil adalah tidak wajib (Menurut TPM dan Menteri Pelajaran) tapi tak perlulah kita nak sangat anak-anak kita belajar bahasa lain dahulu. Ramai budak-budak zaman sekarang BM mereka haishkkk hancur (BM aku pun dah agak teruk.. tatabahasa dan kosa kata aku pun dah tak sebaik masa zaman sekolah dulu). Aku percaya hilang bahasa hilanglah bangsa... tak salah nak belajar bahasa-bahasa lain tapi bahasa sendiri kena juga kita kuasai dahulu. Bagi orang-roang lain (yang bukan Melayu) mereka juga perlu kuasai BM sebabnya mudah.. mereka duduk di negara Malaysia yang menggunakan BM sbagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar harian... Hisk kalau berbincang perihal pendidikan dan bahasa ini sampai sudah takkan habis kerana ia melibatkan politik dan sentimen perkauman sedikit.... penat bila kita pikirkan ia..

1 comment:

hafiz CHouJi said...

Salam, Mie.

Aku bersetuju dengan pendapat ang tu. Mungkin dengan belajar bahasa-bahasa bangsa lain di Malaysia i.e Mandarin dan Tamil boleh membantu memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia, tetapi kerajaan perlu tumpukan terlebih dahulu kepada bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu sebagai medium perpaduan dan seterusnya bahasa Inggeris sebagai alat mencapai kemajuan yang diidamkan negara.

Selain itu, kerajaan juga perlu lebih realistik dan teliti dalam setiap pencadangan dan perlaksanaan polisi baru. Jangan jadi macam eTeMs. Belum nak mekar sudah dicantas.

Sekadar melontarkan pendapat tak seberapa. :')