Tuesday, 10 November 2009

3M @ 3R (Reading, Writing, Arithmetic) Issue in Malaysian Primary Education

I found this article in Berita Harian Online interesting and worth sharing with all~~

Taken from: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Pendidikan/20091103073642/Article

Bicara Akademia: Penguasaan 3M



PENGAJARAN menerusi lagu atau alat muzik sesuai untuk murid Orang Asli.

Laksana pelbagai kaedah P&P ikut kategori murid

IKUTI pandangan Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Dr Saedah Siraj, mengenai keperluan kaedah pengajaran dan pembelajaran berbeza bagi mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) di kalangan murid sekolah seperti disampaikan kepada wartawan pendidikan Berita Harian, Khairina Yasin.

KEGAGALAN atau ketidakupayaan sebahagian murid sekolah rendah menguasai kemahiran asas 3M adalah antara cabaran getir dunia pendidikan hari ini.


Biarpun sukar mengenal pasti angka sebenar murid dikategorikan bermasalah itu setakat ini, ramai pakar pendidikan bimbang implikasinya yang mungkin boleh menyebabkan mereka hilang minat ke sekolah.

Jika kelemahan murid menguasai 3M ini tidak diatasi sejak Tahun Satu, masalah itu akan berlarutan apabila mereka memasuki Tahun Dua dan seterusnya.

Di manakah silap atau apakah kekurangannya? Dalam memperbetulkan keadaan, tidak dinafikan banyak usaha dilaksanakan Kementerian Pelajaran bagi menangani masalah penguasaan 3M ini di kalangan murid.

KAEDAH P&P berbeza perlu meningkatkan penguasaan 3M di kalangan murid.

Antaranya mengadakan kelas pemulihan, kelas khas untuk kanak-kanak istimewa, latihan guru berpendidikan khas, perluasan kempen membaca dan penempatan kaunselor di setiap sekolah.

Namun, keberkesanan pelaksanaannya tidak menyeluruh dan belum mampu memberi perubahan besar terhadap perkembangan penguasaan kemahiran 3M di kalangan murid terbabit.

Dalam sesetengah keadaan, kurangnya komitmen pengurusan sekolah antara penyebab pendidikan murid tergolong dalam kategori ini, gagal mencapai matlamatnya.

Menyisihkan murid terbabit daripada mengikuti pendidikan seperti rakan lain hanya akan menyulitkan langkah mengatasi masalah mereka kemudian hari.


Ada juga yang menegaskan kepentingan peranan ibu bapa dalam membantu anak menguasai kemahiran asas berkenaan, namun ia tetap tidak membebaskan guru daripada membantu murid yang lemah itu.

Berdasarkan kajian sebelum ini, keperluan langkah penyaringan dan pengesanan awal murid yang belum menguasai 3M penting bagi mengenal pasti pelaksanaan program pemulihan bersesuaian dengan mereka.

Langkah awal itu membolehkan murid dikelompokkan berdasarkan punca sebenar kelemahan mereka menguasai 3M sama ada akibat persekitaran, pemakanan atau kesihatan.

Pemerhatian mendapati murid lemah 3M boleh dikelompokkan lima kategori, iaitu anak Orang Asli, kanak-kanak istimewa atau pendidikan khas, murid menghadapi masalah psikologi, kanak-kanak terbiar dan mereka yang sememangnya berketurunan tidak boleh membaca atau dungu.

Setiap kelompok murid terbabit memerlukan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) berbeza bagi memastikan kelemahan pembelajaran mereka dapat diatasi secara berperingkat.

Pencarian kaedah P&P mengikut kelompok perlu ditekankan Kementerian Pelajaran kerana jika dilaksanakan secara tunggal, ia tidak boleh diguna atau diaplikasikan kepada semua murid yang gagal menguasai 3M.

Keadaan ini wajar dikaji semula di peringkat akar umbi dengan merujuk faktor mempengaruhi masalah penguasaan 3M dalam setiap kelompok murid terbabit sebelum menentukan kaedah P&P yang tepat dan bersesuaian.

Dalam kes anak Orang Asli contohnya, kesukaran memberi fokus kepada apa yang diajar menyebabkan mereka gagal menguasai 3M.

Hubungan antara pemikiran dengan pergerakan mata agak lambat berikutan wujudnya gangguan yang menjejaskan fokus mereka terhadap pembelajaran.

Bagi menanganinya, penggunaan alat muzik dalam proses P&P disifatkan antara kaedah sesuai untuk meningkatkan penguasaan kemahiran asas itu di kalangan anak Orang Asli.

Ini kerana mereka amat peka terhadap deria pendengaran. Oleh itu, alat muzik adalah perantara sesuai diguna pakai guru bagi menarik tumpuan kelompok murid masyarakat minoriti itu terhadap pengajaran guru.

Malah, banyak kajian luar negara membuktikan penggunaan alat muzik mengikut etnik atau budaya berjaya membangunkan kemahiran 3M di kalangan murid sekolah.

Bagi kes murid istimewa atau pendidikan khas, kepekaan ibu bapa terhadap proses pengembangan anak dituntut bagi membolehkan kelemahan mereka dikesan sejak awal.

Murid disleksia antara kelompok murid yang gagal menguasai 3M, namun disebabkan pengetahuan ibu bapa yang rendah mengenai penyakit itu menyebabkan masalah berkenaan tidak dipandang serius.

Malah, ramai ibu bapa termasuk golongan profesional cuba menafikan anak mereka berdepan masalah berkenaan hingga merasakan tidak perlu dibantu.

Murid disleksia melihat sesuatu dengan pandangan yang berbeza terutama berkaitan pembelajaran. Sebagai contoh, mereka tidak dapat diajar abjad dengan cepat kerana ada huruf yang akan ditinggalkan disebabkan pemikiran tidak dapat 'membaca' huruf berkenaan.

Dalam usaha menangani masalah ini, kaedah P&P haruslah lebih khusus dan perlu dipraktikkan guru yang mahir mengenainya.

Selain guru dan murid, keberkesanan program pemulihan ini memerlukan kerjasama dan penggemblengan tenaga semua pihak, termasuk sekolah dan ibu bapa.

Apa yang penting, pelaksanaan tindakan progresif menangani masalah penguasaan 3M di kalangan murid ini sepatutnya sejak awal lagi, bukan pada peringkat mereka sudah terlalu jauh tercicir.

1 comment:

Pokjak a.k.a. Aizat said...

xslesai2 lg pasal ni?? kesian anak2 murid n cikgu2